KUALA LUMPUR : Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin akan mengumumkan satu perkembangan penting kepada semua doktor kontrak dalam usaha memastikan kebajikan mereka sentiasa diutamakan.
Khairy dalam ciapannya di Twitter, sebentar tadi, berkata selepas mengotakan janjinya bahawa doktor kontrak boleh memohon Hadiah Latihan Persekutuan (HLP), kali ini beliau akan mengumumkan perkembangan lain pula.
“Mungkin tidak 100 peratus seperti apa yang dituntut, tetapi asas yang baik untuk laluan kerjaya yang lebih baik,” tulisnya dalam ciapan itu.
Sebelum ini, Gerakan Hartal Doktor Kontrak melahirkan rasa gembira apabila Khairy mengotakan janjinya untuk membenarkan doktor kontrak memohon HLP dan membuktikan beliau ingin menyelesaikan masalah yang membelenggu kumpulan berkenaan.
Pada masa sama, gerakan itu yakin bahawa Khairy juga melakukan yang terbaik demi sistem kesihatan negara dan kepentingan kepada semua doktor muda yang lain.
-Berita Harian