PUTRAJAYA: Penguatkuasaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2022 bermula esok diharap mampu menjadi penyelesaian terbaik menzahirkan usaha Malaysia menangani penyeludupan migran.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata beliau yakin pendekatan menyeluruh kerajaan dan pendekatan menyeluruh masyarakat melalui pindaan undang-undang itu boleh menambah baik kedudukan Malaysia dalam sebarang penilaian antarabangsa.
Beliau berkata, ini sekaligus meningkatkan imej Malaysia pada mata masyarakat dunia.
Katanya, akta itu mendapat perkenan diraja pada 19 Januari lalu dan dimasukkan dalam Warta pada 25 Januari.
Hamzah berkata, Kementerian Dalam Negeri menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa pada 22 Februari.
“Secara keseluruhannya, terdapat 17 peruntukan dipinda dengan penambahbaikan membabitkan pindaan kepada tafsiran pemerdagangan orang dan pemansuhan tafsiran paksaan, peningkatan hukuman penjara dan pengenaan hukuman sebatan; peruntukan kesalahan yang lebih berat termasuk membabitkan penjawat awam.
“Pewujudan kuasa menteri dalam pelantikan mana-mana pegawai awam sebagai penguat kuasa;
penambahan keanggotaan organisasi lain dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran; dan peluasan peranan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam pengurusan dan kawalan pegawai pelindung serta rumah perlindungan mangsa pemerdagangan orang,” katanya hari ni.
BHonline-