KUALA LUMPUR: Pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka selesai esok, selepas berdepan sedikit isu pertindihan.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata rundingan mengenai pembahagian kerusi untuk ditandingi PAS menjelang PRN Johor setakat ini sudah selesai.
Bagaimanapun, katanya, beberapa pertindihan kerusi sedang cuba diselesaikan dalam PN bersama Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN).
“Mungkin esok akan selesai (pembahagian kerusi), sebab rundingan kita dengan PAS sudah selesai, cuma berbaki beberapa pertindihan dengan GERAKAN tetapi tidak banyak.
“Dalam dua hingga tiga kerusi, tetapi pasukan Setiausaha Agung yang kendalikan rundingan akan cuba selesaikan dan kita akan maklumkan nanti,” katanya pada sidang media, hari ini.
BHonline-