JOHOR BAHRU : Perikatan Nasional (PN) memaklumkan sudah mempunyai calon Menteri Besar Johor, namun masih menunggu masa yang sesuai untuk mendedahkannya.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata calon Menteri Besar yang menepati kriteria gabungan itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Itu (calon MB) kita akan umumkan nanti, sebab sekarang kita nak umum pun, masih belum jadi calon. Selepas selesai (hari penamaan calon) dan waktu sesuai kita akan umumkan.
“Kita akan umum pada masa yang terdekat, sebab bulan ini pun dah nak habis, jangan risau mesti ada calon Menteri Besar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengumumkan 56 senarai calon PN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, calon Menteri Besar PN itu berkemungkinan besar adalah calon daripada BERSATU.
“Senarai calon (Menteri Besar) dah ada, jadi perbincangan itu sudah berlaku, cuma apa yang boleh saya katakan insya-Allah kemungkinan besar calon MB kita adalah daripada BERSATU,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, manifesto PN bagi PRN Johor akan dilancarkan 1 Mac ini.
“Manifesto PN akan kita keluarkan bulan hadapan dengan slogan Demi Bangsa Johor.
“Manifesto itu nanti mengandungi perancangan lengkap dalam membentuk kerajaan dan pembangunan yang lestari baik dalam bidang sosial, ekonomi, pendidikan, peluang pekerjaan serta alam sekitar,” katanya.
-Berita Harian