Kuala Lumpur : Isu kerusi mana ditandingi calon MCA akan diketahui dalam masa sehari dua lagi.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, isu berkenaan tidak berbangkit dan meminta semua pihak tidak membuat ramalan mengenai kejayaan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Katanya, perkara penting ketika ini adalah buat kerja dan beliau menyerahkan kepada pengundi di Johor untuk membuat keputusan terbaik.
“Saya serahkan kepada rakyat Johor, mereka lebih tahu. Pada masa ini tidak penting apa yang rasakan tetapi yang utama apa rakyat Johor rasakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Malaysia Maritime Week (MMW 2022) di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain mengenai pencarian pesawat MH370, beliau berkata, pendirian Malaysia tetap sama seperti sebelum ini iaitu bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak.
“Perlu ada bukti yang boleh dipercayai. Seperti mana yang kita gunakan, sekiranya terdapat bukti yang kukuh, maka kita tidak ada keberatan untuk teruskan. Ini adalah persefahaman tiga negara, tidak boleh ditentukan secara unilateral oleh Malaysia.
“Tiga negara (Malaysia, Australia dan China) bekerja bersama dengan gigih. Kita perlu bincang dengan tiga negara,” katanya.
-Harian Metro