Kita sambut baik usaha bantu rakyat oleh mana-mana pihak, namun ada persoalan di sebalik Program Jualan Prihatin Rakyat PN besar-besaran di Pagoh pada 4 Februari 2022.
Persoalan pertama apakah program menjual ayam, telur, beras, gula pada harga murah kepada rakyat itu merupakan program parti politik atau program kerajaan?
Ia kerana program itu disertai Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee.
Apakah kementerian itu terlibat dalam program berkenaan? Jika betul ia boleh mengundang kontroversi sumber kerajaan digunakan untuk parti politik.
Ia kerana Kementerian Pertanian dan Industri Makanan adalah kementerian yang bertanggungjawab dalam hal agromakanan negara.
Persoalan kedua Program Jualan Prihatin Rakyat PN mampu menjual beras 5 kilogram, seekor ayam segar, 30 biji telur ayam dan satu kilogram gula hanya pada harga RM20 sahaja.
Bagaimana PN boleh mendapat bekalan makanan tersebut dan menjualnya pada harga sangat rendah sedangkan rakyat terpaksa membeli di pasaran pada harga yang mahal?
Apakah harganya disubsidi oleh PN? Jika bukan disubsidi maka PN mempunyai cara untuk mendapatkan barang pada harga rendah dan seharusnya dikongsikan kepada rakyat.
Program Jualan Prihatin Rakyat PN menjual telur pada harga murah turut menimbulkan persoalan berasingan kerana banyak tempat ketiadaan telur ketika ini.
Persoalan ketiga sebuah NGO berkait pilihan raya pernah mengingatkan tentang peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 apabila DUN dibubarkan.
Menurut NGO itu, ia bertentangan dengan tanggapan ramai yang akta tersebut hanya berkuat kuasa bermula hari pertama kempen.
Justeru, kata NGO itu, aktiviti menjual barang dengan harga murah dan boleh mempengaruhi pengundi selepas DUN dibubarkan merupakan satu kesalahan.
Mynewshub-