GEORGETOWN : Sampah-sarap serta daun kering dikenal pasti menjadi punca berlakunya insiden takungan air di bahagian penghujung jejantas Jalan Bukit Kukus menghala ke Jalan Tun Sardon, semalam.
Menurut kenyataan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), kerja-kerja pembersihan telah dilaksanakan segera dan laluan tersebut kembali sempurna dan selamat digunakan oleh orang awam.
“Takungan air ini adalah disebabkan berlakunya hujan lebat di kawasan tersebut.
“Siasatan dibuat mendapati terdapat daun-daun kering serta sampah-sarap yang telah menghalang laluan air keluar dari sistem perparitan dengan sempurna,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) yang dikenali sebagai jalan berkembar tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 61.5 meter itu ditakungi air selepas hujan lebat petang semalam.
Video berdurasi 10 saat mengenai kejadian itu tular di laman sosial dan mendapat kecaman ramai malah ada yang melahirkan kekecewaan apabila projek itu tidak mempunyai sistem saliran yang baik.
Sementara itu MBPP dalam kenyataan itu amat berharap orang awam dapat bersama-sama mengambil tanggungjawab menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah sewenang-wenangnya di kawasan itu.
-Utusan Online