KUALA TERENGGANU : Laluan satu hala, penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka, adalah antara prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan perlu dipatuhi penganjur bazar Ramadan tahun ini.
Penganjur juga perlu menyediakan pengimbas kod QR MySejahtera dan mengehadkan kemasukan pengunjung ke bazar Ramadan dengan menyediakan nombor giliran.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak, berkata kerajaan memutuskan membenarkan bazar Ramadan beroperasi tahun ini, namun ia perlu dilaksanakan dengan SOP ketat bagi mengelak penularan COVID-19.
“Pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang melakukan persiapan, termasuk mengeluarkan permit kebenaran jualan kepada peniaga.
“PBT juga sedang mengenal pasti jumlah tapak jualan bazar Ramadan yang akan dibuka di kawasan pentadbiran masing-masing,” katanya pada majlis perasmian Halaqah Darul Iman, di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, tiada sekatan akan dikenakan ke atas kegiatan ekonomi, termasuk bazar Ramadan tahun ini.
Dr Alias, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata, pembukaan bazar Ramadan bergantung pada situasi semasa COVID-19 dan arahan terkini dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Mengulas mengenai pemulangan bayaran pendahuluan jika bazar Ramadan diarahkan menghentikan operasi, Dr Alias berkata, PBT sedang memperhalusi perkara itu.
-Berita Harian