Ahli Parlimen Muar dan pengasas parti MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak menjelaskan mengapa dia minta maaf kepada wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Johor?
Perkara itu menarik untuk diketahui kerana ini adalah kisah ‘u-turn’ paling laju dan tajam pernah disaksikan dalam arena politik tanah air yang sangat menghairankan.
Syed Saddiq sekadar menyatakan dia telah terkhilaf, tetapi tidak menerangkan apakah aduan panduduk DUN Tiram tentang wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak benar.
“Di Parlimen Muar, saya juga tidak sempurna. Banyak lagi tugas dan tanggungjawab yang perlu saya lunaskan,” kata Syed Saddiq.
Sebelum ini Syed Saddiq memuat naik posting di Facebook mendakwa komuniti India Ulu Tiram mengadu kepimpinan di kawasan tersebut tidak ambil endah kebajikan rakyat.
“Dipilih oleh rakyat, dapat peruntukan tapi amanah rakyat dibuang. Bantuan yang sepatutnya rakyat dapat, tak sampai. Tak bertanggungjawab”
Syed Saddiq tidak menjelaskan sebab sebenar beliau minta maaf kepada ADUN PKR Gopalakrishnan Subramaniam maka banyak andaian boleh dibuat.
Antaranya Syed Saddiq terlalu ghairah untuk bermain sentimen politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hingga tidak perasan komuniti India Ulu Tiram berada dalam DUN PKR.
Selepas menyedari ia berada dalam DUN PKR maka beliau cepat-cepat meminta maaf kerana tahu kenyataannya itu boleh menjejaskan PKR.
Walau apa pun senario sebenar, Syed Saddiq benar-benar sudah tersilap langkah dalam isu DUN Tiram. Bukan silap langkah terkutuk wakil rakyat PKR, tetapi tersilap langkah meminta maaf.
Permohonan maaf itu membuatkan rakyat Johor mula tertanya-tanya apakah Syed Saddiq jujur dalam banyak kata-katanya sebelum ini.
Ia kerana pengasas parti MUDA itu secara tidak sengaja telah menunjukkan sikap “double standard” paling ketara dalam membawa isu rakyat.
Paling kasihan adalah komuniti India Ulu Tiram yang membuat aduan kepada Syed Saddiq dan MUDA. Melakukan kesilapan besar menaruh kepercayaan kepada Syed Saddiq dan MUDA.
Permohonan maaf Syed Saddiq seolah-olah menunjukkan komuniti India Ulu Tiram yang membuat aduan terbabit telah menipu tentang kesukaran mereka alami dibawah wakil rakyat PKR.
-Mynewshub