KUALA LUMPUR : Ketua Wira Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Mohd Azis Jamman memberi bayangan parti itu sah menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan kerjasama Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Beliau berkata, perkara itu bakal diumumkan oleh Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam masa terdekat.
Katanya, jumlah kerusi yang bakal ditandingi WARISAN juga realistik dengan mengambil kira statusnya sebagai parti yang baru melebarkan sayap ke Semenanjung.
“Kita meneliti beberapa kerusi dan sudah tentu jumlahnya adalah realistik kerana kita masih baru. Pastinya akan bekerjasam dengan MUDA dan saya yakin jumlah kerusi ditandingi MUDA lebih banyak. Biarlah kedua-dua Presiden mengumumkan bersama-sama.
“Jentera kita juga sudah bergerak di serata Johor malah Naib Presiden WARISAN difahamkan kini berada di sana dan saya sendiri akan ke Johor selepas tempoh kuarantin tamat pada 10 Februari ini,” katanya yang kini menjalani kuarantin kerana menjadi kontak rapat COVID-19 kepada BH, hari ini.
WARISAN mengembangkan sayap ke Semenanjung bermula akhir tahun lalu dengan tumpuan di beberapa negeri yang dilihat berpotensi berdasarkan kehadiran ramai masyarakat Sabah dan Sarawak termasuk di Johor.
Pada 26 Januari lalu, Mohd Shafie menyatakan WARISAN akan meneliti situasi semasa terlebih dan berbincang dengan Syed Saddiq sebelum memutuskan sama ada akan bertanding pada PRN Johor.
“Saya akan ke Johor dalam masa terdekat untuk berbincang dengan jentera kami di sana dan buat pengumuman,” kata Ahli Parlimen Semporna itu.
Sementara itu, Mohd Azis, berkata penyertaan WARISAN pada PRN Johor dengan kerjasama MUDA bertujuan memberi pilihan kepada pengundi yang sudah bosan dengan ketidakstabilan dan kekeliruan dicetuskan perkembangan politik semasa.
“Orang bercakap megenai UMNO sebagai parti yang rasuah, Perikatan Nasional (PN) sebagai pengkhianat manakala Pakatan Harapan (PH) sebagai mengelirukan kerana menandatangani memorandum bersama kerajaan Pusat.
“WARISAN dan MUDA pula adalah satu pilihan, kita cuba memberitahu rakyat Malaysia khususnya di Johor, jika tidak suka dengan ketidakstabilan dan kekeliruan yang berlaku, cubalah sokong WARISAN dan MUDA,” katanya.
Beliau juga menolak pandangan pembabitan WARISAN dan MUDA akan memudahkan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berikutan perpecahan undi akibat persaingan banyak penjuru.
Katanya, laporan PRN Melaka yang diterima pihaknya mendapati jumlah undi BN tidak menunjukkan peningkkatan, cuma penyokong PH yang tidak keluar mengundi.
“Kenapa penyokong PH tidak keluar mengundi? Ya, satu daripadanya akibat pandemik tetapi ia juga kerana rakyat sudah muak dan penat dengan situasi politik negara.
“Sebab itu WARISAN dan MUDA mahu menyertai PRN Johor, kita nak begerak ke depan dan menyatupadukan rakyat. Kalau kita terus bercakap tentang polisi berteraskan bangsa dan agama, saya fikir itu tidak baik untuk negara,” katanya.
BHonline-