JOHOR BAHRU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal membayangkan parti itu mungkin bertanding solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada 12 Mac ini.
Mohd. Shafie berkata, hal itu kerana dirinya pernah bekerjasama dengan pelbagai parti politik lain sebelum ini dan sudah ‘masak’ dalam kancah politik tempatan.
“Pada PRN Sarawak dan Melaka lalu, kita dapat lihat rakyat menolak Pakatan Harapan (PH), jadi mengapa kita harus menjalin kerjasama lagi.
“Berhubung perbincangan bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pula, memang Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ada datang ke rumah saya, tetapi keesokannya dia mengumumkan perkara lain pula. Jadi kita buat keputusan sertai PRN Johor dengan menjalin kerjasama bersama rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Majlis Pelancaran Warisan Negeri Johor yang diadakan di Taman Sutera, di sini semalam.
Turut hadir, Naib Presidennya, Datuk Junz Wong; Ketua Koordinator Warisan Johor, Suhaimi Salleh dan dua Koordinator Johor, Datuk Sunther Subramaniam dan Wong Siew Poh.
Mohd. Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna bagaimanapun memberitahu, jumlah kerusi dan senarai calon yang bakal bertanding mewakili parti itu hanya akan diumumkan kemudian.
“Buat masa ini kita masih lagi dalam proses mengenal pasti calon-calon dan kerusi yang akan ditandingi, mungkin bukan semua tetapi kita mahu memberikan pilihan kepada rakyat negeri ini.
“PRN Johor adalah permulaan sebelum kita menghadapi Pilihan Raya Umum dan itu matlamat kita, iaitu untuk menubuhkan kerajaan bukan sahaja di peringkat negeri tetapi lebih utama adalah di peringkat negara,” jelasnya.
UtusanOnline-