DUMAS, ARKANSAS – Seorang maut dan enam kanak-kanak adalah antara 24 rakyat Amerika Syarikat (AS) yang menjadi mangsa tembakan semasa pameran kereta tempatan dalam kejadian serangan di bandar Dumas, negeri Arkansas, lapor akhbar The Sun UK, semalam.
Seorang suspek kini ditahan, manakala Polis Negeri Arkansas sedang meneruskan pencarian untuk mengesan lebih ramai penembak.
Serangan rambang itu berlaku sekitar pukul 8.25 pagi (waktu tempatan), kata Polis Negeri Arkansas kepada akhbar The US Sun.
Polis dan Ejen Khas Bahagian Siasatan Jenayah telah dihantar ke tempat kejadian di acara pameran kereta Hood-Nic, demikian menurut kenyataan Pegawai Maklumat Awam Polis Negeri Arkansas, Bill Sadler.
Pengurusan Kecemasan Daerah Desha menyatakan, tembakan berlaku di tempat letak kereta Mad Butcher yang terletak di jalan US-165, berhampiran kawasan pameran.
Polis sedang meneliti kemungkinan terdapat berbilang penembak selepas menahan seorang suspek. Sejumlah mangsa dibawa ke Hospital Delta Memorial.
Pegawai Pejabat Pengurusan Kecemasan Daerah Desha juga memberitahu kepada stesen televisyen tempatan, KARK 4, terdapat dua insiden berasingan berlaku dengan kejadian pertama melibatkan adegan polis mengejar suspek yang berakhir dengan kemalangan kereta.
Insiden tembakan berlaku selepas itu. Dumas merupakan sebuah bandar yang terletak di Daerah Desha. Berdasarkan bancian setakat 2010, bandar itu mempunyai kira-kira 5,000 penduduk.
-Kosmo Online