PASIR MAS : Seramai 708 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Pasir Mas yang tidak dapat menduduki peperiksaan itu hari ini dan esok bagi kertas Bahasa Melayu (BM) dan Bahasa Inggeris (BI) ditangguh ke April ini.
Tahun ini seramai 407,097 calon akan menduduki ujian bertulis peperiksaan SPM tahun 2021 di 3,382 pusat peperiksaan di seluruh negara
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kesemua calon itu melibatkan tujuh buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Ugama (Arab) (SMU (A)) Khairiah Banggol Stol, SMU (A) Al-Falah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meranti, SMK Rantau Panjang, SMK Baroh Pial dan Mahaad Muhammadi Rantau Panjang.
Menurutnya, kesemua pelajar itu akan kembali menduduki peperiksaan tersebut pada sidang kedua yang dijadualkan April ini.
“Peperiksaan pada sidang April ini hanya melibatkan mata pelajaran BM dan BI sahaja.
“Sidang kedua untuk peperiksaan SPM bukan perkara baharu kerana tahun lalu, KPM turut menggunakan keadah yang sama berikutan terdapat calon SPM yang positif Covid-19” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Agama (SMKA) Lati di sini, semalam.
Tambahnya, peperiksaan bagi kertas lain berjalan seperti biasa namun ia bergantung kepada situasi semasa banjir.
Radzi memberitahu, mana-mana calon SPM yang terkesan dengan banjir atau sukar ke pusat peperiksaan boleh berhubung dengan guru atau pengetua sekolah untuk tindakan lanjut.
Katanya, KPM sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan peperiksaan SPM berjalan lancar.
“Mana-mana calon SPM yang terjejas akibat banjir sehingga pakaian sekolah rosak, mereka boleh memakai apa sahaja pakaian yang bersesuaian sepanjang peperiksaan berlangsung.
“Sekiranya berlaku banjir atau paras air semakin naik dalam tempoh peperiksaan berlangsung sehingga menjejaskan pusat peperiksaan, kita akan mengambil tindakan selanjutnya,” ujarnya.
-Utusan Online