BATU PAHAT : Pakatan Harapan (PH) Johor tidak akan terus menjadi ‘pembangkang’ apabila kerajaan negeri ditubuhkan, sebaliknya turut berperanan sebagai ‘rakan’ dalam mengurus tadbir kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penggaram, Gan Peck Cheng, berkata pihaknya bersedia menyokong setiap usaha kerajaan yang dirancang demi kebaikan rakyat dan akan menegur sekiranya ada perkara yang dilaksana akan membebankan kerajaan.
“Saya berharap setiap ADUN yang berada di blok bukan kerajaan akan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan untuk membangunkan negeri Johor. Membangunkan negeri adalah hasrat utama PH dan akan menegur sekiranya berlaku perbuatan yang salah atau membebankan rakyat.
“Tugas utama setiap ADUN adalah untuk berkhidmat kepada rakyat. Kita berharap setiap ADUN yang berkhidmat perlulah jujur dan bukannya menjadi wakil rakyat untuk mengejar sesuatu atau ada kepentingan untuk diri sendiri,” katanya yang juga Bendahari DAP Johor.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diumumkan malam tadi, Peck Cheng mengekalkan kerusi DUN Penggaram dengan majoriti undi 9,956 selepas menewaskan Ter Hwa Kwong daripada Barisan Nasional (BN), Ronald Sia Wee Yet (Perikatan Nasional) dan calon Bebas, Zahari Osman.
Mengenai usaha membangunkan DUN Penggaram, katanya, beliau akan menumpukan aktiviti kebajikan sebagaimana yang dilakukannya sejak menjadi ADUN bermula Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lagi.
“Perkara kedua yang akan saya lakukan adalah untuk mengatasi banjir kilat yang sering berlaku di daerah Batu Pahat dan kawasan DUN Penggaram khususnya yang semakin kerap sejak akhir-akhir ini,” katanya.
-Berita Harian