WASHINGTON: Russia meminta bantuan ketenteraan dan ekonomi dari China untuk perang di Ukraine, dakwa laporan media Amerika Syarikat (AS) semalam.
Beberapa jam selepas itu, Rumah Putih mengeluarkan amaran bahawa Beijing akan menerima akibatnya jika republik itu membantu Moscow mengelakkan sekatan antarabangsa.
Beijing enggan melayani secara langsung laporan itu, sebaliknya mendakwa Washington menyebarkan maklumat tidak benar dan berniat jahat terhadap peranan China dalam perang Ukraine.
Pegawai AS memberitahu media bahawa Russia memohon peralatan ketenteraan dan sokongan dari sekutu utamanya itu.
Moscow juga didakwa memohon bantuan ekonomi dari Beijing susulan sekatan yang melumpuhkan dikenakan terhadap negara itu oleh kebanyakan negara Barat, lapor New York Times yang sekali lagi memetik sumber tanpa nama.
Pegawai menolak untuk memberi penjelasan sebetulnya berhubung apa permintaan Russia atau sama ada China sudah pun memberi maklum balas, menurut laporan itu.
Seorang jurucakap Kedutaan China di Washington memberitahu beberapa media, pihaknya tidak pernah mengetahui hal itu apabila diajukan soalan mengenai dakwaan berkenaan.
Jurucakap Kementerian Luar China Zhao Lijian, hari ini memberitahu wartawan bahawa AS berniat jahat cuba menyebarkan maklumat salah yang menyasarkan China mengenai isu Ukraine.
Beliau berkata China memainkan peranan konstruktif dalam mendesak perdamaian dan menggesa untuk rundingan diadakan segera bagi menamatkan perang.
Zhao berkata demikian susulan pertemuan antara delegasi peringkat tinggi AS dan pegawai tertinggi China di Rome.
Sementara itu, jurucakap Majlis Keselamatan Nasional AS, Emily Horne, dalam satu kenyataan semalam berkata, China dan AS akan berbincang mengenai usaha berterusan bagi mengendalikan persaingan antara dua negara terbabit.
AS akan diwakili Penasihat Keselamatan Nasional, Jake Ssullivan manakala China pula oleh Ketua Diplomat Parti Komunis China, Yang Jiechi.
Ia termasuk perbincangan mengenai kesan perang Russia terhadap Ukraine pada keselamatan wilayah dan global.
Menurut Sullivan, Rumah Putih memantau rapat bagi melihat sama ada China membekalkan bahan atau sokongan ekonomi kepada Russia untuk membantu negara itu mengelak kesan sekatan yang dilaksanakan.
Minggu lalu, Beijing berkata hubungannya dengan Russia kekal utuh meskipun Moscow menerima kritikan antarabangsa dan menyuarakan keterbukaannya untuk membantu sebagai pengantara penamatan perang.
BHonline-