SYDNEY: Banjir yang memusnahkan pantai timur Australia akan diisytiharkan sebagai darurat negara, kata Perdana Menterinya, Scott Morrison, hari ini.
Pihak berkuasa kini giat mengerahkan bantuan dan bekalan segera ke kawasan paling teruk terjejas.
Morrison mengadakan lawatan ke bandar Lismore utara New South Wales yang terjejas teruk, juga menjanjikan lebih banyak sokongan kewangan untuk penduduk dan perniagaan yang terjejas akibat hujan berminggu-minggu yang menenggelamkan luar bandar dan pinggir bandar di seluruh Sydney.
Pengisytiharan tergempar itu sebelum ini pernah dibuat selepas kebakaran belukar yang memusnahkan Australia pada 2019, akan membantu mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepatkan bantuan daripada anggota pertahanan di tengah-tengah kritikan mengenai tindak balas perlahan terhadap banjir yang mengakibatkan 20 orang terkorban.
Morrison berkata, kerajaan sudah mengesyorkan kepada gabenor supaya mengisytiharkan banjir sebagai darurat negara.
Menurut laporan media, Perdana Menteri yang kehilangan sokongan pengundian menjelang pilihan raya persekutuan sebelum Mei itu, hari ini melakukan lawatan peribadi ke ladang yang ditenggelami banjir, pejabat pasukan keselamatan dan mangsa yang hilang tempat tinggal.
Namun, daripada rakaman visual televisyen kelihatan sekumpulan orang berkumpul di pusat operasi kecemasan yang sepatutnya dilawati Morrison sambil mereka menjerit, ‘air semakin naik’, ‘jangan berkompromi’ dan ‘banjir bahan api fosil’.
Kerajaan konservatif Morrison hujung tahun lalu menggunapakai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, tetapi aktivis iklim menuntut tindakan yang lebih agresif.
Dua tahun lalu juga, Morrison dikritik kerana melakukan percutian keluarga di Hawaii ketika darurat kebakaran dan kemudiannya dicemuh penduduk yang berang dengan isu dana perkhidmatan bomba dan kekurangan bantuan.
Sebahagian besar pantai timur Australia ditenggelami air selepas sistem tekanan rendah kedua yang kuat dalam beberapa minggu menyebabkan paras banjir semakin meningkat yang memusnahkan seluruh komuniti serta menyebabkan ramai orang terperangkap di penempatan mereka.
Kekecewaan penduduk bertambah apabila tiada akses kepada elektrik dan internet hingga beberapa hari, dengan mereka menyalahkan pihak berkuasa yang lambat bertindak, selain skala bantuan yang perlahan.
Banjir besar berterusan di pinggir barat Sydney, walaupun beribu-ribu penduduk di timur laut bandar itu kembali ke rumah mereka selepas hujan reda.
Musim panas pantai timur Australia didominasi oleh fenomena cuaca La Nina, yang biasanya dikaitkan dengan hujan lebih besar dengan kebanyakan sungai menghampiri kapasiti penuh walaupun sebelum berlakunya hujan lebat kebelakangan ini.
Sydney menerima hampir 900 milimeter (mm) hujan setakat ini pada 2022, atau kira-kira 80 peratus daripada hujan tahunannya, menurut data rasmi yang ditunjukkan, permulaan paling lembap setahun sejak ia direkodkan.
BHonline-