PUTRAJAYA : Kementerian Kewangan memaklumkan bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 1 akan disalurkan kepada penerima yang layak selewat-lewatnya 31 Mac ini.
Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ketika ini terdapat 12 juta permohonan yang perlu ditapis oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk BKM 2022.
Beliau berkata, penelitian terperinci harus dilaksanakan oleh LHDN bagi memastikan tiada yang tercicir daripada BKM.
“Saya difahamkan, LHDN sedang berusaha mengesahkan kelayakan penerima secepat mungkin. Saya tidak mahu LHDN tergesa-gesa memproses permohonan ini sehingga ada Keluarga Malaysia yang layak tercicir daripada menerima bantuan ini,” katanya menerusi hantaran video di Facebook malam tadi.
Katanya, beliau faham masih ramai Keluarga Malaysia yang memerlukan bantuan dan sudah pasti mereka mengharapkan bantuan disalurkan dengan segera.
Tengku Zafrul berkata, MOF sentiasa mendengar dan berusaha keras memastikan Keluarga Malaysia mendapat perkhidmatan yang terbaik.
“Insya-Allah, pengumuman penyaluran BKM akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.
BKM pada tahun ini akan memberi manfaat kepada lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM8.2 bilion.
Jumlah penerima bagi bantuan ini meningkat daripada 8.6 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM7 bilion di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) pada tahun lalu.
-Utusan Online