KOTA KINABALU : Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih kekal dengan pendirian terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti politik lain menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, mereka sentiasa terbuka dan berharap akan mendapat kerjasama yang baik daripada parti-parti lain.
Namun, beliau juga menerima hakikat bahawa ada sesetengah parti tidak mahu ada kesatuan dalam kalangan parti-parti politik.
“Walau bagaimanapun, kami secara umumnya bersifat mesra untuk bekerjasama dan konsisten ingin mewujudkan kestabilan jadi, saya harap parti lain juga mengambil pendekatan sebegini,” katanya selepas pertemuan bersama ketua-ketua penerangan Bersatu di Sabah semalam.
Mengulas lanjut katanya, di peringkat negeri, Bersatu Sabah diberi kuasa autonomi untuk bebas membuat keputusan yang bersesuaian dengan keadaan di Sabah.
Menurutnya, setakat ini kuasa yang diberi digunakan dengan baik dan syabas buat kepimpinan Bersatu Sabah yang berjaya menguruskan kepercayaan yang diberi oleh peringkat Pusat.
“Kita lihat fokus Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah sentiasa mengenai kepentingan rakyat dan ini satu perkara yang harus dicemburinya.
“Fokus (Sabah) tidak pernah lari daripada menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan ekonomi Sabah demi kebaikan rakyat. Bagi saya, kuasa dan kebebasan yang ada digunakan dengan sebaiknya dan diharap ia berterusan begitu,” katanya.
Wan Saiful turut mengingatkan jentera parti di semua negeri untuk membina kekuatan parti secara menyeluruh maka, jentera parti perlu diperkemaskan sebagai persediaan untuk sebarang kemungkinan.
Jelas beliau, sama ada PRU15 dalam masa terdekat atau sebaliknya, mereka perlu bersedia dan meneruskan khidmat kepada rakyat.
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Sabah, Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata, senario di Sabah berbeza dengan peringkat Pusat kerana Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) mempunyai kerjasama yang erat bagi membangunkan Sabah demi kepentingan rakyat.
Jelas beliau, hubungan antara Bersatu dan BN di Sabah tidak bermasalah dan akan sentiasa baik. Malah, Ketua Menteri dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sentiasa seiring dan senada ingin fokus membangunkan Sabah.
-Utusan Online