Pendirian DAP adalah untuk menunggu keputusan mahkamah sebelum membuat keputusan berhubung nasib pengerusinya Lim Guan Eng, kata naib pengerusi parti itu Chow Kon Yeow.
Chow yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata demikian ketika mengulas gesaan bekas pengerusi DAP Johor, Boo Cheng Hau agar Lim meletakkan jawatan sementara menunggu keputusan perbicaraannya.
āSaya fikir buat masa ini, pendirian kekal samaā¦parti tidak akan mengendalikan soal ini sehingga mahkamah memberikan keputusan,ā katanya kepada pemberita di Batu Ferringhi, Pulau Pinang hari ini.
Dia berkata DAP akan membuat pertimbangan jika berlaku sebarang perubahan dalam perkara itu.
Lim dipilih sebagai pengerusi DAP dalam pemilihan Ahad lalu, selepas berundur daripada jawatan setiausaha agung kerana telah mencapai had tiga penggal.
Jawatan tertinggi parti itu diambil alih oleh Anthony Loke.
Boo yang dilihat sebagai pemimpin yang berbeza haluan dalam parti menegaskan Lim tidak sepatutnya memegang sebarang jawatan ketika kesnya masih berjalan.
āMana-mana pemimpin yang berdepan skandal atau pertuduhan rasuah perlu ambil inisiatif untuk meletakkan jawatan bagi agar tidak menghantar isyarat salah berhubung nilai parti kepada orang ramai dan menjejaskan peluang parti dalam PRU15,ā katanya.
Lim didakwa meminta rasuah untuk membantu sebuah syarikat agar dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion, ketika menjadi ketua menteri negeri itu pada 2011.
Dia juga berdepan pertuduhan berhubung pembelian banglo di bawah harga pasaran dan penukaran status sebidang tanah daripada pertanian kepada perumahan.
-Malaysia Kini