PORT DICKSON: Penggunaan aplikasi MySejahtera diperlukan ketika negara berada dalam Fasa Peralihan Endemik, bagi mengesan kontak rapat kes positif COVID-19 bagi tindakan susulan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, penggunaan aplikasi MySejahtera tetap relevan bagi tujuan kesihatan awam.
“Kita belum masuk ke fasa endemik tetapi ke fasa peralihan endemik, nak ke endemik jauh sangat. Kita masih ada ribuan kes jangkitan setiap hari.
“Jadi MySejhetara masih berfungsi untuk beritahu kepada pengguna sekiranya mereka sudah menjadi kontak rapat. Dulu kontak rapat, mereka diminta asingkan diri dan sekarang kontak rapat cuma diminta semak ada gejala atau tidak,” katanya kepada media selepas melawat tapak pembinaan bangunan tambahan di Hospital Port Dickson, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, penggunaan aplikasi berkenaan mungkin dimansuhkan dalam masa beberapa bulan lagi berdasarkan keputusan KKM.
“Mungkin dalam tempoh sebulan dua lagi apabila keadaan sudah semakin stabil, mungkin waktu itu sesuai kita hentikan penggunaan MySejahtera.
“Kita gunakan MySejahtera ini untuk tujuan kesihatan awam. KKM tahu bila nak hentikan penggunaan MySejahtera,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan negara akan memasuki Fasa Peralihan Endemik bermula 1 April depan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri dilaporkan berkata, ia adalah fasa peralihan untuk negara kembali kepada kehidupan normal selepas rakyat bergelut dengan pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu.
BHonline-