AMPANG JAYA : Hujan lebat berterusan dipercayai menjadi punca kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, di sini, yang mengorbankan empat mangsa semalam.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata berdasarkan pemantauan pihak berkuasa di lokasi mendapati tidak ada sebarang aktiviti pembalakan dan pengosongan tanah dilakukan di kawasan itu.
“Tempat kejadian adalah zon kawasan lapang dan tidak ada sebarang aduan kami terima membabitkan sebarang aktiviti di kawasan ini. Aduan yang kami terima sebelum ini adalah di kawasan sejauh empat kilometer dari lokasi iaitu di Taman Permai, namun tiada aduan diterima di kawasan ini.
“Kita akan terus memantau keadaan di lokasi ini dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, di sini, hari ini.
Amirudin berkata, penghuni di 48 rumah membabitkan empat lorong di kawasan taman perumahan itu diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing sebagai langkah keselamatan.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melakukan kajian terperinci dalam tempoh dua hingga tiga hari untuk mengenal pasti sama ada kawasan ini selamat diduduki atau tidak, manakala mereka perlu kosongkan rumah maksimum lima hari bergantung situasi semasa.
“Buat masa ini, pemasangan kanvas akan dilakukan untuk mengelakkan pergerakan tanah terutama ketika hujan,” katanya.
-Berita Harian