JOHOR BAHRU : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sentiasa bersedia sepenuhnya untuk beroperasi semula, susulan langkah pembukaan sempadan yang dijadualkan tidak lama lagi.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata kesemua sistem laluan automatik (autogate) termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga sudah diaktifkan.
Katanya, pegawai bertugas di pintu masuk juga akan dipanggil semula untuk kembali ke tugas asal mereka.
“Pegawai yang sebelum ini dihantar ke depoh sementara yang dibuka sepanjang pandemik COVID-19, juga akan menjalankan tugas asal mereka di pintu sempadan negara.
“Daripada segi persediaan, saya boleh katakan Imigresen sudah pun bersedia terutama di dua pintu masuk utama iaitu KLIA dan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor ini,” katanya selepas mengetuai Op Mega Imigresen di sini, malam tadi.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan sempadan negara akan dibuka semula tidak lama lagi.
Ia bagi membolehkan ahli Keluarga Malaysia yang sudah lama tidak bersua muka dapat pulang terutama ketika Aidilfitri pada Mei nanti.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, memaklumkan tarikh pembukaan sempadan negara akan diumumkan Perdana Menteri pada minggu depan.
Menurut Khairy, mesyuarat Kabinet sudah mencapai kata sepakat mengenai pembukaan sempadan negara dan kini menunggu diumumkan oleh Perdana Menteri.
Untuk rekod, pintu sempadan negara mula ditutup sepenuhnya pada 18 Mac 2020 susulan penularan kes COVID-19 di seluruh dunia.
-Berita Harian