KOTA KINABALU : Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) menyarankan kerajaan agar tidak cuai dalam mengendalikan isu pampasan RM62.59 bilion daripada waris Sultan Sulu.
Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, majoriti rakyat Sabah kini khuatir dan tertanya-tanya jika Kerajaan Persekutuan mampu menangani isu tuntutan Sultan Sulu itu secara baik.
“Adakah Malaysia dari sudut perundangan mempunyai alasan kukuh untuk tidak dipaksa membayar tuntutan berkenaan? Isu ini akan menjadi satu malapetaka besar sekiranya tidak dapat ditangani.
“Jika Kerajaan Persekutuan berhasrat membayar pampasan itu kepada waris Sultan Sulu, ini bermakna Malaysia menjual hak-hak rakyat Sabah kepada kuasa asing. Maka, lebih baik RM62.59 bilion itu digunakan untuk pembangunan Sabah daripada membayar tuntutan waris Sultan Sulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bekas Speaker Dewan Rakyat itu berkata, tuntutan sebegitu tidak harus dilayan sebaliknya, kerajaan perlu mencari langkah penyelesaian terbaik bagi menghentikan isu tuntutan Filipina terhadap Sabah.
Sejak Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963, isu tuntutan Filipina terhadap Sabah sering kali dibangkitkan namun, bertahun-tahun berlalu, pihak berwajib di peringkat Kerajaan Persekutuan masih belum dapat menyelesaikan isu itu secara tuntas.
Malah, sehingga isu tuntutan RM62.59 bilion dibangkitkan, tiada satu tindakan tegas dan tuntas diambil oleh kerajaan.
Sebelum ini, portal berita Sepanyol melaporkan penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan kepada waris Sultan Sulu berjumlah AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion).
Isu pampasan itu timbul kerana Malaysia didakwa tidak membayar wang pemisah sejak 2013 dan Malaysia dikatakan melanggar Perjanjian 1987 yang ditandatangani oleh Sultan Jamal Al-Alam, Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo.
Di samping itu Pandikar Amin berkata, dalam berhadapan isu sebegini, pemimpin-pemimpin politik Sabah perlu bersatu dan meletakkan kepentingan rakyat negeri Sabah melebihi segala-galanya.
“Ini masanya untuk pemimpin Sabah tanpa mengira perbezaan ideologi politik untuk sama-sama bersatu mempertahankan kedaulatan Sabah,” katanya.
Jelas beliau, Kerajaan Persekutuan perlu memastikan isu pertikaian Pulau Batu Puteh yang kini menjadi hak milik Singapura tidak berulang dan jangan biarkan Sabah menjadi mangsa seterusnya.
-Utusan Online