KUALA LUMPUR: Kempen secara rasmi Pemilihan PKR 2022 hanya akan bermula selepas penamaan calon yang dijadualkan pada 8 April ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa.
Justeru, Zaliha mengingatkan, JPP akan memantau rapat sebarang bentuk kempen kepada semua calon tanpa prejudis dan akan bertindak mengikut Peraturan dan Tatacara Pemilihan serta Tataetika Kempen.
Beliau berkata, memandangkan kini sudah ada penyokong sibuk mempromosikan pimpinan pilihan masing-masing dalam pelbagai cara dan pelbagai platform media, JPP tidak bertanggungjawab terhadap kempen yang sudah bermula pada masa kini.
“Bakal calon dan penyokong masing-masing juga perlu menjaga tatasusila, mengelak dari kempen tidak beretika, seperti menyelar peribadi calon atau mengeluarkan kata-kata kesat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pemilihan PKR 2022 yang akan diadakan pada 13 hingga 18 Mei ini, kini dalam fasa pertama proses pemilihan dan anggota parti digalakkan memuat turun Aplikasi ADIL yang dilancarkan pada 4 Mac lalu.
Ahli juga diminta mengemas kini daftar keanggotaan dan memberi persetujuan menjadi Pemilih Atas Talian (PAT).
Bernama-