KUALA LUMPUR : Kos pengambilan pekerja domestik Indonesia ditetapkan sebanyak RM7,800 berdasarkan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Malaysia dan negara itu.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata menerusi jumlah itu, ia bukan kos perlu ditanggung sepihak saja, sebaliknya membabitkan kedua-dua negara.
Beliau berkata, sekiranya terdapat pihak yang mengenakan kos melebihi jumlah itu, mereka perlu membuat laporan kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
“Berdasarkan MoU yang lalu, kos pengambilan pekerja domestik Indonesia adalah RM7,800 iaitu sebanyak RM6,000 kos di pihak Malaysia dan RM1,800 adalah kos di pihak Indonesia.
“Memorandum sudah menetapkan kos itu, jika ada caj ataupun bayaran yang melebihi seperti ditetapkan ini, boleh buat laporan kepada JTKSM untuk kita ambil tindakan,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) yang meminta kementerian menyatakan kos terperinci perlu dibayar pemohon kepada ejen pengambilan pekerja domestik Indonesia sebelum COVID-19.
Kasthuriraani turut mendakwa kos pengambil pekerja domestik Indonesia dalam lingkungan RM15,000 hingga RM30,000.
Mengenai eksploitasi terhadap pekerja migran, Awang berkata, terdapat langkah diambil kerajaan bagi mencegah tindakan itu termasuk rasuah dan mengawal pekerja itu ke negara ini.
Beliau berkata, ia dilakukan melalui MoU berhubung penggajian pekerja asing dengan pihak negara sumber.
“MoU ini dapat mengawal selia proses pengambilan, penempatan dan penggajian pekerja asing supaya lebih teratur serta mematuhi undang-undang, peraturan dan dasar sedia ada negara.
“Selain itu, MoU ini juga bertujuan memberi perlindungan sewajarnya dari segi hak dan kebajikan pekerja serta menjaga kepentingan majikan. Ia juga untuk membanteras sindiket yang memonopoli, mengeksploitasi dan mengawal kemasukan pekerja asing ke Malaysia.
“Hanya agensi pekerjaan swasta yang berdaftar mengikut Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246) dibenar membantu majikan menguruskan segala urusan penempatan pekerja asing di negara ini,” katanya.
-Berita Harian