PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bercadang menubuhkan Jawatankuasa Induk Pengembangan Bahasa Melayu Institut Pendidikan Tinggi (IPT) Negara-Negara Asean, sesuai dengan aspirasi kerajaan untuk memartabatkan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata jawatankuasa berkenaan antara lain berperanan untuk merancang pemetaan program kerjasama dalam pelbagai aktiviti seperti penyelidikan, pengembangan bahasa Melayu di IPT di negara ASEAN, program terjemahan serta adaptasi karya-karya ilmu.
“KPT turut mengenal pasti 19 universiti di Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina yang berpotensi untuk diadakan program kolaborasi dengan universiti tempatan.
“Dalam hal ini, KPT melantik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) sebagai Sekretariat bagi memulakan kerjasama strategik untuk mengembangkan aspek penting tamadun alam Melayu ke peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Malaysia akan menggunakan Bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara, termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan.
Dalam pada itu Noraini berkata, dengan kira-kira 300 penutur Bahasa Melayu di negara induk dan ASEAN yang lain, program pengembangan bahasa berkenaan dapat melonjakkan taraf dan peranannya.
“Bukan sahaja sebagai lingua franca bahkan sebagai bahasa ilmu dan bahasa bernilai ekonomi di rantau ini,” katanya.
BHonline-