JAYAPURA : Anggota kumpulan pemisah menembak mati lapan juruteknik yang membaiki menara telekomunikasi di wilayah Papua.
Jurucakap tentera Papua, Kolonel Aqsha Erlangga berkata, sejumlah anggota bersenjata menyerbu menara telekomunikasi itu ketika sekumpulan juruteknik membaiki ‘transceiver’ di kawasan pergunungan di kampung Beoga di daerah Puncak.
Kawasan itu hanya boleh diakses dengan menggunakan helikopter.
Jurucakap polis Papua, Ahmad Musthofa Kamal memaklumkan, seorang juruteknik dapat melarikan diri dan meminta bantuan menerusi kamera keselamatan di menara berkenaan.
“Pasukan keselamatan dikerah ke lokasi kejadian dan juruteknik itu diselamatkan.
“Namun, usaha untuk membawa keluar mayat mangsa menggunakan helikopter berdepan kesukaran akibat cuaca buruk dan kabus tebal,” katanya.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Papua kini memburu kumpulan bersenjata itu yang dipercayi merupakan anggota Tentera Pembebasan Papua Barat.
-Utusan Online