KOTA BHARU : Kerajaan akan mengumumkan keputusan perbincangan bersama Arab Saudi mengenai kos serta jumlah kuota haji susulan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) diumumkan negara itu baru-baru ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, keputusan perbincangan mengenainya akan diumumkan pada awal April ini dan beliau akan ke Arab Saudi pada 18 hingga 27 Mac ini bagi memenuhi jemputan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi.
Katanya, agenda akan dibincangkan berkaitan SOP dan juga perkara berkaitan urusan haji.
“Sebaik perbincangan ini diadakan, baharulah kita dapat pencerahan sebenar mengenai SOP, selain mungkin ia juga membabitkan pengumuman jumlah kos haji yang sebenar bergantung SOP akan ditetapkan.
“Justeru, kos ibadah haji akan dimuktamadkan selepas perbincangan dengan Arab Saudi diadakan sebelum kerajaan Malaysia memutuskan untuk menghantar jemaah ke sana,” katanya ketika sidang media, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) di Kompleks Dewan Jubli Perak, di sini, membabitkan 92 graduan Diploma Pengurusan Perniagaan, Diploma Multimedia, Diploma Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah serta Diploma Syariah.
Yang turut hadir Ketua Eksekutif KTD, Dr Nik Kamarulzaman Awang Teh@Abdullatiff
Dalam perkembangan lain, Ahmad Marzuk berkata, pelaksanaan solat jemaah di masjid dan surau tanpa penjarakan fizikal sebaik peralihan fasa endemik pada 1 April ini adalah panduan diluluskan Kerajaan Persekutuan melalui perbincangan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara.
“Bagi pelaksanaan ini terpulang kepada negeri masing-masing sama ada hendak mengguna pakai ataupun tidak, kerana ia bidang kuasa agama dan hak negeri.
“Kemungkinan ada juga negeri yang memikirkan keperluan selain perkenan ke Bawah Duli Tuanku negeri masing-masing.
“Dalam hal ini, kita hanya memberi panduan dan sumber kuasa untuk mereka melaksanakan tanpa penjarakan fizikal, namun terpulang kepada negeri masing-masing. Namun di peringkat wilayah, kita laksanakan solat jemaah tanpa penjarakan,” katanya.
-Berita Harian