MELAKA: Jemaah yang bersolat di semua masjid dan surau di negeri ini dibenar merapatkan saf mengikut saiz sejadah standard bermula 1 April selaras dengan fasa peralihan endemik COVID-19 di seluruh negara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata ketetapan itu selaras dengan pengumuman kerajaan mengenai negara beralih ke fasa endemik COVID-19 mulai tarikh berkenaan.
Beliau berkata, ketika ini kerajaan negeri membenarkan solat berjemaah mengikut kapasiti masjid dan surau.
“Berkuatkuasa 1 April ini, di Melaka kita benarkan solat jemaah dengan jaraknya antara satu sejadah ke satu sejadah, jadi masih ada sedikit penjarakan,” katanya kepada media selepas merasmikan gudang runcit Baloy Sdn. Bhd. (Baloy) yang pertama di Melaka di Bukit Senjuang, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Baloy, Yen CY.
Melaka sebelum ini memberi kelonggaran kepada pengurusan masjid menggunakan budi bicara mereka sendiri untuk mengawal penjarakan jemaah.
Mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang akan dikuatkuasakan mulai 1 April ini, Sulaiman berkata, kerajaan negari akur kepada sebarang ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Untuk kebaikan dalam negeri Melaka, kita akan lihat dan menilai SOP diputuskan MKN dan KKM di peringkat endemik.
“Kita akan patuhi apa saja ditetapkan kepada Persekutuan, tapi jika kita fikir yang baik untuk rakyat Melaka kita akan mohon kepada MKN dan KKM,” katanya.
BHonline-