PAS jika masih ada maruah tidak akan sesekali akur kepada pujukan pihak tertentu dalam Perikatan Nasional (PN) supaya bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Perlu ingat pimpinan PAS sebelum ini mengecam teruk pemimpin UMNO kerana dituduh mahu membuat ‘jajaran baharu’ dengan PH.
Dakwaan itu yang dijadikan naratif untuk terus mengekalkan PAS bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN dan menjauhi UMNO.
Jika PAS buat pusingan U kali ini maka sudah pasti PAS terpaksa berdepan defisit kepercayaan rakyat khususnya umat Islam dan penyokong tegarnya sendiri.
Dimanakah pendirian? Dimanakah perjuangan Islam? Dimanakah segala dalil-dalil tercampak ke tepi? Dimanakah kejujuran dalam politik?
Bagi UMNO barangkali mereka tidak kisah pun PAS kembali bekerjasama dengan PH dan DAP. UMNO dalam kedudukan terbaik ketika ini.
UMNO malah boleh berbangga menjadi satu-satunya parti yang tidak pernah bekerjasama dengan DAP walaupun pernah cuba dituduh sebaliknya.
Jika PN dan PH bergabung dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tetap memberi manfaat kepada UMNO dan begitu juga sebaliknya.
Mengapa demikian pastinya pemimpin PAS sendiri memahaminya atau barangkali mereka terlalu ‘slow’ untuk mengetahuinya.
Bagaimanapun berdasarkan rekod pimpinan PAS pasti ada sahaja dalil-dalil untuk mewajarkan mereka kembali berkerjasama dengan PH dan DAP.
Yang menjadi mangsa adalah ahli dan pimpinan PAS di peringkat akar umbi kerana di mana mereka mahu menyorokkan muka selepas itu.
Pemimpin seronok dengan gaya hidup baharu dilimpati nikmat kemewahan, tetapi akar umbi yang ikhlas perjuangan terpaksa berdepan cacian.
Kerana itu sebelum segala-galanya telah terlalu lewat akar umbi PAS perlu berani mengambil tindakan dari sekarang untuk menukar pucuk pimpinan.
Apa yang seorang ahli UMNO katakan tiga jahanam itu adalah benar. Jika itu tidak ditukar selagi itu PAS akan gagal kembali kepada kekuatan ummah yang didambakan Muafakat Nasional.
-Mynewshub