NEW YORK : Meta Platforms akan membenarkan pengguna Facebook dan Instagram di beberapa negara, untuk menyeru tindakan keganasan terhadap Russia serta tenteranya dalam konteks pencerobohan ke atas Ukraine, menurut e-mel dalaman yang dilihat Reuters, semalam.
Pemberian kebenaran berkenaan sekali gus menyaksikan perubahan sementara terhadap dasar syarikat media sosial itu berhubung ucapan berbaur kebencian.
Malah, syarikat itu juga memberi kebenaran sementara untuk beberapa hantaran menyeru kematian terhadap Presiden Russia, Vladimir Putin, atau Presiden Belarus, Alexander Lukashenko, di beberapa negara termasuk Russia, Ukraine dan Poland, menurut sejumlah e-mel dalaman kepada pengendali kandungannya.
“Susulan pencerobohan Russia ke atas Ukraine, kami memberi kebenaran sementara untuk ekspresi politik yang lazimnya bertentangan dengan peraturan kami, sebagai contoh ucapan ganas seperti ‘matilah penceroboh daripada Russia’.
“Namun, kami masih tidak membenarkan seruan keganasan terhadap orang awam Russia,” kata jurucakap Meta dalam satu kenyataan.
Menurut satu e-mel terbabit, seruan agar pemimpin berkenaan maut, akan dibenarkan kecuali sekiranya ia mengandungi sasaran lain atau mempunyai dua petunjuk kredibiliti, seperti lokasi atau kaedah.
Perubahan sementara dasar berhubung seruan keganasan itu diguna pakai di Armenia, Azerbaijan, Estonia, Georgia, Hungary, Latvia, Lithuania, Poland, Romania, Russia, Slovakia dan Ukraine, menurut satu e-mel terbabit.
-Berita Harian