KUALA LUMPUR : PETRONAS menafikan pihaknya sedang mengadakan sebarang perbincangan dengan kerajaan mengenai cadangan untuk mengambil alih Sapura Energy Bhd.
Syarikat minyak nasional itu membuat kenyataan demikian sebagai merujuk kepada laporan berita, komen dalam media dan spekulasi baru-baru ini mengenai “perbincangan dengan kerajaan mengenai cadangan untuk mengambil kepentingan utama” dalam Sapura Energy.
“PETRONAS ingin menafikan sepenuhnya laporan dan spekulasi ini. Kumpulan sentiasa dan akan terus dipandu dengan ketat oleh rangka kerja yang telah ditetapkan untuk sebarang pertimbangan pelaburan atau pelupusan.
“PETRONAS ingin menekankan ia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan peserta minyak dan gas, memanfaatkan kepakaran dan keupayaan mereka apabila aktiviti meningkat dengan industri pulih daripada kesan COVID-19,” katanya.
Sapura Energy baru-baru ini melaporkan kerugian bersihnya untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022 meningkat kepada RM8.9 bilion berbanding RM160.87 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini.
Pendapatan merosot kepada RM4.13 bilion daripada RM5.35 bilion disebabkan oleh peratusan siap yang lebih rendah yang diiktiraf pada tahun semasa, berikutan pengiktirafan kerugian yang boleh dijangka termasuk lonjakan kos projek dalam segmen perniagaan kejuruteraan dan pembinaan (E&C).
Sementara itu penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Sean Lim, baru-baru ini berkata Sapura Energy dijangka akan terus mengalami kerugian lebih besar bagi tahun kewangan semasa.
Katanya, syarikat itu dilaporkan sedang mengalami tekanan kecairan, apabila paras hutang dan pembayaran tertunggak terlampau tinggi, ditambah dengan kesukarannya mendapatkan kemudahan kredit.
-Berita Harian