PETALING JAYA : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka mengumumkan tarikh pembukaan sempadan negara, minggu depan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, mesyuarat Kabinet semalam sudah mencapai kata persetujuan dan cuma menunggu untuk diumumkan Perdana Menteri sahaja.
“Jika tiada aral melintang, Perdana Menteri akan umum tarikh itu minggu depan, bukan minggu depan sempadan buka tapi pengumuman itu dibuat minggu depan.
“Pengumuman itu akan dibuat sebelum tarikh pembukaan sempadan bagi memudahkan semua pihak menjalankan persiapan.
“Pengumuman itu penting kerana ia akan beri masa sedikit kepada syarikat penerbangan, Jabatan Imigresen Malaysia, industri perhotelan dan semua terlibat dalam sektor pelancongan dan pengembaraan untuk buat persediaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan NKF 16th Annual Dialysis Conference, di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein memaklumkan, kementerian dan agensi berkaitan sedang memperincikan protokol pembukaan itu sebelum dimuktamadkan.
Jelasnya, itu dibuat bersandarkan tiga perkara asas iaitu memberi keselesaan kepada pengembara dan tidak merumitkan perjalanan, berpandukan sains serta fakta terkini berkaitan Covid-19 selain membandingkan keperluan pembukaan sempadan dengan negara-negara lain.
-Utusan Online