MCA mendahului DAP di Yong Peng, Pekan Nanas
7.40 malam: MCA mendahului DAP di dua kerusi yang disandang parti komponen PH itu, iaitu Yong Peng dan Pekan Nanas.
Di Yong Peng, BN jauh mendahului dengan 6,003 undi berbanding PH dengan 4,464 undi. PN pula mendapat 1,093 undi.
Di Pekan Nanas, MCA meraih 5,201 undi manakala PH dengan 3,552 undi. PN mendapat 1,287 undi.
Sementara kiraan di kebanyakan kerusi masih di peringkat awal, lebih daripada separuh undi telah dikira di Yong Peng dan Pekan Nanas.
Ini bermakna DAP kian sukar untuk mengejar MCA di dua keris ini.
DAP bagaimanapun mendahului di hampir semua kerusi tradisinya yang ditandingi MCA.
‘BN mendahului di 43 kerusi’
7.40 petang: Pusat gerakan BN – Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengumumkan BN kini mendahului di 43 daripada 56 kerusi.
Antara kerusi yang didahului mereka dengan perbezaan 1,000 undi adalah N17 Semerah dan N18 Seri Medan.
Ahmad juga berkata BN kini mendahului di Bentayan.
“Jika kita menang di Bentayan, ia adalah satu keajaiban,” kata ahli parlimen Pontian itu.
Dia turut mengumumkan ketibaan sejumlah pemimpin Umno, antaranya Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein, yang menurutnya adalah faktor kepada kemenangan BN di kem tentera di negeri itu.
Muda mendahului di 3 kerusi
7.30 petang: Muda memberi saingan kepada BN dalam kiraan awal walaupun kebanyakannya adalah undi askar dan polis yang lazimnya berpihak kepada BN.
Di Puteri Wangsa, Muda di depan dengan 144 undi, meninggalkan BN yang meraih 127 undi. PN pula dengan 59 undi.
Ketua Penerangan Muda Luqman Long berkata partinya berjaya mendapat majoriti undi pos.
“Muda menang undi pos di Puteri Wangsa,” katanya.
Di Tenang, Muda juga di depan dengan 571 undi, manakala BN meraih 232 undi. PN pula dengan 173 undi.
Bagaimanapun parti itu jauh ketinggalan di Bukit Permai apabila hanya mendapat 30 undi. BN di depan dengan 231 undi, diikuti PN dengan 118 undi.
Perlu dinyatakan bahawa di kebanyakan kawasan, undi pos dan undi awal hanya merangkumi bahagian kecil keseluruhan undi.
‘Yong Peng dalam bahaya’ – DAP
7.20 malam: Pusat Operasi MCA di Yong Peng – Lebih 100 penyokong berkumpul di sini untuk menonton penstriman langsung keputusan tidak rasmi.
Mereka bersorak apabila keputusan tidak rasmi menunjukkan calon MCA Ling Tian Soon mendahului kiraan undi.
Antaranya ialah Lim Choon Soon, ahli MCA berusia 67 tahun yang telah menganggotai parti itu selama lebih setengah abad.
Dia berkata hadirin lebih ramai berbanding sebelum tahun ini dan percaya Ling berpeluang untuk menang.
“Tidak seperti pilihan raya lalu, mereka (PH) mendapat kemenangan besar.
“Saya harap Ah Soon (calon MCA) boleh menang kerana dia telah berusaha untuk tempat ini,” kata Lim.
Yong Peng ialah kerusi sasaran utama MCA yang DAP akui dalam keadaan bahaya.
PH tak positif jika peratus keluar undi rendah.
7.15 malam: Pusat Operasi Pakatan Harapan – Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke menjangkakan kadar keluar mengundi kurang 60 peratus.
“Secara amnya kita tahu jika kadar pengundian rendah, ia tidak positif untuk PH.
“Bagaimanapun, kami sentiasa berharap boleh mencapai keputusan yang lebih baik dalam pilihan raya negeri,” kata Loke.
Aktor Ady Putra turun bantu BN
7.10 malam: Pusat Operasi BN – Pelakon Ady Putra (gambar, atas) antara penyokong BN yang dilihat dalam khalayak ramai memantau siaran langsung keputusan tidak rasmi ketika pengiraan diteruskan.
“Saya sudah berada di Johor selama lebih kurang seminggu.
“Saya berada di Muar, Segamat, Batu Pahat, Kluang bersama calon-calon, kami turun ke banyak daerah mengundi. Dan hari ini saya di Johor Baru,” kata Ady Putra yang terkenal antara lain dengan wataknya dalam filem KL Gangster 2 pada 2003.
Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengumumkan ketibaan pemimpin BN termasuk presiden MCA Wee Ka Siong dan ketua Puteri Umno Zarida Zariq Khan.
“Jaga jarak anda, jika kami menang tetapi kami dapat Covid, ia tidak berbaloi,” katanya.
7 petang: Seperti yang sudah dijangka dan biasa dilihat dalam pilihan raya sebelum ini, BN berada di depan di peringkat awal kerana undi pos dan undi awal lazimnya dikira terlebih dahulu.
Undi-undi ini kebanyakannya daripada pengundi polis dan tentera yang cenderung untuk menyokong BN.
Mereka meletakkan BN di depan di beberapa kerusi termasuk Bukit Permai, Bukit Batu, Senai, Pekan Nanas, Tiram, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Skudai dan Kota Iskandar.
Menariknya, PN juga berjaya mendapat sebahagian daripada undi ini dan pada masa ini berada di tempat kedua di kebanyakan kerusi-kerusi di atas.
Undi untuk PH biasanya meningkat kemudian memandangkan kebanyakan penyokongnya adalah pengundi di kawasan bandar, di mana proses kiraan mengambil sedikit masa.
BN dahului 461 undi di Tanjung Surat
6.45 petang: Pusat operasi BN – Pengumuman secara langsung keputusan tidak rasmi sedang berlangsung, menonjolkan kerusi yang mana BN mendahului pengiraan.
Kebanyakan dari 56 kerusi menunjukkan hanya satu atau dua saluran mengundi telah selesai dikira.
Di N39 Tanjung Surat, BN mendahului dengan 461 undi dari empat saluran yang telah dikira, dari 53 saluran keseluruhan. PN mengekori dengan 168 undi, diikuti PKR 11 dan Pejuang 1.
Di N46 Perling, PH mendahului dengan 293 pengundi dari satu saluran yang telah dikira, dari 172 saluran keseluruhan, diikuti rapat oleh PN dengan 231 undi dan sifar kepada BN.
Analisis: Pengundi baru mungkin tampung peratusan mengundi rendah
6.35 petang: Setakat empat petang, kadar keluar mengundi adalah 50 peratus, jauh berbeza dengan kadar 61 peratus pada empat petang dalam PRN Melaka.
Kadar keluar mengundi bagi PRN Melaka, yang tamat pada 5.30 petang, adalah 65.85 peratus.
Kadar akhir bagi PRN Johor belum diumumkan namun ia dijangka hampir 60 peratus.
Sekali imbas, kadar ini seperti jauh merosot namun PRN Johor adalah pilihan raya pertama selepas pelaksanaan sistem pendaftaran automatik, serta had umur baru layak mengundi, iaitu 18 tahun.
Sistem pendaftaran automatik telah menyebabkan jumlah pengundi meningkat sebanyak 42.89 peratus.
Jangkaan awal Malaysiakini mendapati kadar keluar mengundi (bilangan sebenar pengundi) akan hampir sama dengan ketika PRU 2018, iaitu sekitar 1.5 juta orang, walaupun kadar mengikut peratusan adalah rendah.
Pada PRU 2018, seramai 1,503,995 daripada 1,817,999 pengundi berdaftar di Johor keluar mengundi.
Dalam PRN kali ini, jika kadar keluar mengundi sekitar 60 peratus, ia bermakna hampir 1.5 juta daripada 2,597,742 orang yang layak mengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka.
Secara ringkasnya, pengundi baru telah menampung jangkaan peratusan mengundi yang rendah akibat wabak Covid-19.
Bagaimanapun parti yang menjadi pilihan mereka hanya akan diketahui beberapa jam lagi.
6.15 petang: Pusat operasi BN – Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tiba. Dia membayangkan BN sedia untuk memeterai persetujuan dengan pembangkang jika pihaknya menang.
Namun Zahid berkata ia mungkin tidak perlu jika BN berjaya meraih majoriti dua pertiga.
“Setakat ini kita buka pintu untuk kerjasama dengan mana-mana parti yang berdaftar. Tetapi kalau kita dapat (majoriti) dua pertiga maka kerjasama tak bererti,” katanya.
Dia juga berkata BN akan mempertimbang untuk memberi peruntukan kepada semua Adun, termasuk pembangkang.
6 petang: Tamat waktu mengundi bagi PRN Johor kali ini.
Semua pusat mengundi secara rasmi ditutup.
Pemimpin setiap parti yang bertanding kini menuju ke pusat operasi pmasing-masing di mana mereka akan membuat pengiraan undi, selain Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Maklumat itu dikumpul daripada ejen parti di setiap pusat daerah mengundi (DPM) dan sumber bagi keputusan tidak rasmi.
Keputusan rasmi daripada SPR biasanya diumumkan kemudian.
Menurut prosedur SPR, undi dikira di setiap PDM sebelum dibawa ke pusat pengiraan undi, di mana jumlah keseluruhan undi akan dikira.
Kiraan semula, jika ada, hanya boleh dibuat di PDM.
Berikut adalah tempat perkumpulan parti-parti:
Pakatan Harapan – Le Grandeur Palm Resort di Senai, Johor
Perikatan Nasional – Impiana Hotel Senai di Senai, Johor
BN – Ibu pejabat Umno Johor di Jalan Yahya Awal, Johor Bahru
Muda – Jalan Rusa, Johor Bahru
-Malaysia Kini