KUALA NERUS : Kerajaan memperuntukkan RM200 juta tahun ini, bagi menjayakan Program Penyeragaman Harga (PPH) demi memastikan penduduk luar bandar terutama pedalaman dan pulau, menikmati harga barangan keperluan pada kadar sama.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata sehingga kini PPH memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta penduduk meliputi 798 kawasan luar bandar membabitkan enam negeri merangkumi Sabah, Sarawak, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang .
Beliau berkata, PPH sudah dilaksanakan sejak 2009 berjaya membantu masyarakat luar bandar menikmati tujuh barangan keperluan asas iaitu beras putih, gula putih bertapis kasar, tepung gandum, minyak masak tulen, gas petroleum cecair (LPG), petrol RON 95 dan diesel, mengikut ketetapan harga kerajaan seperti di bandar.
“Kita sedia maklum, kesukaran penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman dan luar bandar apabila mereka ini terpaksa membayar pada harga yang lebih tinggi bagi mendapatkan barangan keperluan, berbanding penduduk yang berada di kawasan bandar.
“Perbezaan harga ini disebabkan faktor kos pengangkutan yang perlu ditanggung berikutan jarak dan perjalanan yang jauh ke kawasan pedalaman atau luar bandar, malah ada sesetengah kawasan perlu menggunakan bot yang sudah tentu membabitkan kos lebih tinggi.
“Menerusi program ini, kerajaan menanggung kos pengangkutan dari pembekal ke kawasan pedalaman terpilih,” katanya ketika ditemui selepas PPH di Kampung Baru, Pulau Redang di sini hari ini.
Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu, berkata PPH dilaksanakan melalui khidmat pengangkut tempatan yang dilantik untuk membeli barangan keperluan tersebut dan dihantar ke lokasi pengedaran termasuk kedai runcit di kawasan pedalaman terpilih untuk dijual pada harga dikawal kerajaan.
Beliau berkata, PPH terbahagi kepada tiga skop projek iaitu pengedaran barang perlu, Penyeragaman Harga Gas Petroleum Cecair (LPG) atau gas memasak dan penyeragaman harga petrol RON95 dan diesel melalui program Community Drumming (CD).
“Di Terengganu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)melaksanakan program PPH ini di Pulau Redang dan Pulau Perhentian.
“Menerusi program ini, lebih 7,000 penduduk di dua pulau ini kembali menikmati penyeragaman harga ini sejak Mei 2021 selepas ia tertangguh pada 2019 dan 2020 disebabkan beberapa faktor.
“Ini antara usaha kita untuk memastikan semua rakyat menikmati keistimewaan yang diberikan termasuk barangan bersubsidi yang sepatutnya dinikmati semua padaharga yang sama,” katanya.
-Berita Harian