SYDNEY – Canberra dan Amsterdam sepakat untuk melancarkan tindakan undang-undang ke atas Rusia di Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) berhubung insiden pesawat MH17 ditembak jatuh dan meragut kesemua 298 nyawa pada 17 Julai 2014.
Kenyataan bersama dikeluarkan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison dan Menteri Luar, Marise Payne pada Isnin menegaskan Moscow bertanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa atas tragedi itu dan tindakan majlis penerbangan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu akan menjadi langkah untuk memperjuangkan keadilan kepada kesemua mangsa.
Canberra turut menyifatkan kejadian itu jelas melanggar konvensyen untuk melindungi pesawat awam daripada menjadi sasaran tembakan.
Sementara itu, Menteri Luar Belanda, Wopke Hoekstra berkata, kematian kesemua mangsa termasuk 196 warga Belanda perlu mendapat pembelaan sewajarnya.
“Krisis semasa di Ukraine menekankan tentang perlunya bertindak tegas seperti ini,” ujarnya.
Difahamkan, tindakan bersama di bawah Perkara 84 Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa adalah berasingan dengan perbicaraan ke atas empat suspek yang berdepan tuduhan membunuh.
“Pencerobohan ke atas Kiev menggariskan keperluan tentang usaha berterusan untuk menuntut Moscow bertanggungjawab atas pelanggaran secara terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB termasuk ancaman ke atas kedaulatan serta ruang udara Kiev,” jelas kenyataan bersama Morrison dan Payne itu lagi.
Canberra dikatakan mahu menuntut pampasan penuh daripada Kremlin atas kejadian nahas itu dan menggantung kuasa mengundi Rusia dalam majlis penerbangan tersebut yang menetapkan standard untuk perjalanan udara awam.
Ketika tragedi itu, MH17 sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia ditembak jatuh misil buatan Rusia di ruang udara wilayah yang dikuasai kumpulan pemberontak pro-Moscow.
Sehingga kini, Kremlin menafikan penglibatan mereka dan turut mengemukakan teori alternatif yang ditolak penyiasat antarabangsa kerana tidak disokong bukti.
Keputusan perbicaraan ke atas empat individu termasuk tiga warga Rusia dijangka diumumkan pada tahun ini.
SinarHarian-