MOSCOW : Rusia mula mengundurkan pasukan tenteranya dari Kyiv selepas mengumumkan akan ‘mengurangkan aktiviti ketenteraan secara radikal’ di Ukraine dalam rundingan damai antara kedua-dua negara yang berlangsung di Turki.
Lapor Daily Mail, perisikan Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) mengenal pasti pergerakan kumpulan taktikal batalion Rusia dan pengurangan serangan bom di sekitar ibu negara Ukraine.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Dalam rundingan damai tersebut, Timbalan Menteri Pertahanan, Alexander Fomin memaklumkan pasukan tenteranya akan mula mengurangkan operasi ketenteraan di kawasan Kyiv dan Chernihiv.
“Kami mengesan serangan bom berkurangan di sekitar Kyiv yang mana sebahagian besarnya disebabkan pasukan tentera Ukraine berjaya membalas serangan Moscow di barat laut bandar itu.
“Namun, pertempuran masih berterusan. Terdapat serangan bom di Mariupol dan kawasan lain.
“Jadi, kami mahu melihat pengunduran sepenuhnya tentera Rusia dari Ukraine,” kata sumber ketenteraan Britain.
Pegawai keselamatan itu menyifatkan langkah itu sebagai pengakuan terhadap kegagalan Rusia untuk menawan Kyiv dalam tempoh beberapa hari, seperti dirancang pada permulaan insiden pencerobohan tersebut.
* BIMBANG SERANGAN LEBIH DAHSYAT
Sementara itu, Barat menyuarakan kebimbangan sekiranya Rusia bertindak melancarkan serangan lebih dahsyat selepas ini.
AS memberi amaran bahawa ancaman itu belum berakhir meskipun Rusia berjanji untuk mengurangkan operasi ketenteraan di sekitar ibu negara Ukraine.
Amaran itu dibuat ketika Ukraine mencadangkan penerapan status neutral sebagai tanda kemajuan dalam rundingan secara bersemuka.
Ukraine sebelum ini menyatakan kesediaan untuk menjadi negara neutral tanpa menyertai mana-mana pakatan seperti yang ‘dimahukan’ Rusia.
Menurut Pentagon, tindakan Rusia memindahkan sejumlah kecil anggota tentera dari Kyiv, dilihat lebih bersifat kepada penempatan semula berbanding pengunduran daripada perang.
“Ia tidak bermakna ancaman terhadap Kyiv sudah berakhir,” kata jurucakap John Kirby dalam sidang akhbar.
Kirby berkata, sebanyak 10 pesawat F-18 milik tentera AS dan lebih 200 anggota tentera dikerahkan ke anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta negara jiran Rusia, Lithuania.
Jelasnya, tentera AS di Poland ketika ini sedang `bekerjasama’ dengan pasukan Ukraine semasa menyerahkan senjata kepada mereka.
Rusia menggelar pencerobohan itu sebagai `operasi ketenteraan khas’ kononnya untuk melucutkan senjata dan menghapuskan pengaruh Nazi di Ukraine.
Barat pula menyifatkan tindakan Rusia melancarkan pencerobohan tanpa provokasi.
Beberapa pakar politik berpandangan janji Rusia untuk mengurangkan aktiviti ketenteraan kebanyakannya meliputi kawasan tentera Rusia yang semakin kalah.
-Utusan Online