KUALA LUMPUR: “Jati diri saya adalah jati diri UMNO. Siapalah Ismail Sabri tanpa tuan-tuan dan puan-puan,” demikian ucap Perdana Menteri pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, hari ini.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang juga Naib Presiden UMNO, berkata disebabkan itu beliau tidak akan membiarkan obor perjuangan UMNO malap, tapi terus menyala dan membakar semangat perjuangan bersama.
“Oleh itu, apa saja keputusan kita dalam Kabinet, saya akan pastikan pandangan dan suara UMNO diberikan keutamaan, demi menjaga kepentingan rakyat. Suka saya tegaskan, saya orang parti! Darah saya darah UMNO! Perjuangan saya adalah untuk UMNO!” katanya dalam ucapan penggulungan pada hari terakhir PAU.
Ismail Sabri berkata beliau tidak mungkin berada di atas pentas PAU sebagai Naib Presiden dan Perdana Menteri tanpa berkat doa serta sokongan penuh ahli-ahli UMNO.
Perhimpunan tahunan parti kali ini adalah yang pertama selepas Ismail Sabri menerajui kerajaan campuran Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada Ogos 2021.
“Terima kasih kepada presiden, timbalan presiden, ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang sebulat suara mencalonkan saya sebagai Perdana Menteri, disokong oleh kepimpinan UMNO negeri, bahagian dan cawangan,” kata Ketua UMNO Bahagian Bera itu.
Ismail Sabri berkata sejak BN kembali memimpin kerajaan, banyak kejayaan dicapai dan semua perkara yang diputuskan mesyuarat MKT UMNO pada 27 Ogos tahun lalu dilaksanakan dengan dukungan rakan-rakan Kabinet UMNO.
BHonline-