KUCHING : Kehilangan kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di Bintawa di sini, sejak 7 Mac lalu kini disiasat sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, kes kehilangan kanak-kanak terbabit, Eric Chang Wei Jie disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, keputusan mengklasifikasikan semula kes itu dibuat selepas pihaknya menilai perkembangan terkini hasil siasatan.
“Usaha pencarian kanak-kanak itu kini diperluaskan dengan bantuan Pasukan Gerakan Marin Wilayah 5 Sarawak.
“Operasi turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di kawasan sungai di Muara Tebas,” katanya.
Kanak-kanak itu dilaporkan hilang dari rumah penjaganya di kawasan perumahan di Jalan Daya, Bintawa, di sini, pada jam 7.42 malam, 7 Mac lalu.
Susulan kehilangan itu, polis menahan empat suspek iaitu dua lelaki dan dua wanita berusia antara 24 hingga 49 tahun dengan salah seorang adalah penjaga kanak-kanak terbabit.
Hasil semakan rekod mendapati kesemua suspek mempunyai 17 rekod jenayah iaitu 14 kesalahan dadah, dua jenayah harta benda dan satu jenayah komersil.
Keputusan saringan air kencing juga mendapati kesemua suspek positif dadah jenis syabu.
Sementara itu, Ahsmon turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu.
-Berita Harian