Kuala Lumpur : Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun bersetuju supaya isu banjir kilat yang melanda Lembah Klang khususnya ibu negara, kelmarin diperbahaskan.
Terdahulu, usul itu dikemuka Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) malam tadi dan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) hari ini, antara lain meminta supaya kementerian berkaitan memperincikan bentuk tindakan dalam mengawalselia bah itu.
“Ramai sangat terkesan dengan banjir kilat semalam. Ada satu lagi aspek, ramai yang terkesan adalah mereka yang terkesan (dengan banjir buruk) pada 18 dan 19 Disember lalu.
“Saya pohon supaya kita boleh bahaskan (usul ini). Harapan saya bukan saja Menteri Wilayah Persekutuan (menjawab), tapi kementerian yang ditugaskan menjaga Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Kasa (Kementerian Alam Sekitar dan Air) juga boleh, kerana ketiga-tiga kementerian ini saling berkait,” kata Fahmi ketika bangun meminta supaya usul dikemukakannya diterima.
Azhar kemudian memaklumkan akan meneliti kedua-dua usul itu dan mempunyai tempoh sehingga esok untuk menentukan kaedah perbincangannya.
Menurutnya, beliau menerima usul Fong pada jam 10 malam dan Fahmi pada 10 pagi.
“Saya mencadangkan supaya perkara itu dibincangkan. Itu saja komen saya sekarang, tapi saya tak benarkan sekarang (untuk bahas), esok saya maklumkan,” katanya.
Banjir kilat melanda beberapa kawasan di Lembah Klang kelmarin selepas hujan lebat berterusan mulai jam 3 petang.
Nadma turut melaporkan beberapa kawasan dinaiki air antaranya, Balai Polis Dang Wangi, Jalan Sultan Ismail/Jalan Ampang, Jalan Leboh Ampang, Jalan Raja Laut dan Jalan Kia Peng/Jalan Raja Chulan.
Beberapa sungai pula melepasi paras amaran iaitu di Sungai Batu di Sentul; Sungai Klang di Jambatan Sulaiman; Sungai Klang di Lebuh Pasar dan Sungai Gombak di Jalan Parlimen, manakala sungai melepasi bahaya adalah Sungai Gombak di Jalan Tun Razak.
Sementara itu di Selangor, lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka iaitu di Dewan Camelia Seksyen 10 Putra Heights, Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Indah, Dewan Batu 3, Dewan Kampung Seri Aman dan Dewan Puchong Jaya.
-Harian Metro