BANGKOK: Thailand mengesan sekurang-kurangnya empat kes jangkitan berpotensi sub varian COVID-19 Omicron BA.2.2.
Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan Dr Suakit Sirilak, berkata strain yang pertama kali dilaporkan di Hong Kong itu, ditemukan pada seorang warga asing dan tiga rakyat tempatan.
Bagaimanapun, tambahnya, ia masih menunggu pengesahan lanjut dan menggesa orang ramai supaya bertenang kerana ia masih belum dianggap sebagai membimbangkan.
“Setakat ini, belum ada maklumat mencukupi untuk menilai tahap penularan strain itu dengan tepat.
“Terlalu awal untuk membuat kesimpulan bahawa BA.2.2 boleh merebak lebih cepat atau lebih serius berbanding varian lain,” katanya di sini, hari ini.
Semalam, Naib Pengerusi Suruhanjaya Kesihatan Awam, Dr Chalermchai Boonyaleephan, menggesa kerajaan membuat saringan membabitkan ketibaan dari Britain dan Hong Kong di tengah-tengah kebimbangan terhadap Omicron BA.2.2.
“Berdasarkan jumlah kematian dan jangkitan di Hong Kong ketika ini, tidak mustahil ia disebabkan oleh sub varian baharu Omicron.
“Data menunjukkan 5,000 jangkitan ketika ini dan 30 kematian bagi setiap sejuta penduduk di Hong Kong pada setiap minggu.
“Jumlah itu lebih tinggi berbanding di Thailand yang merekodkan secara purata 315 kes dan 0.85 kematian bagi setiap sejuta penduduk setiap minggu,” katanya yang dipetik Nation Thailand.
Bagaimanapun, Inisiatif Global untuk Perkongsian Data Selesema Burung (GISAID) belum mengesahkan kemunculan BA.2.2 sebagai sub varian Omicron atau mengaitkannya dengan kes kematian di Hong Kong.
Pada masa ini, Omicron adalah strain yang dominan di Thailand, mewakili 99.6 peratus daripada semua kes COVID-19.
Omicron merebak empat kali lebih cepat berbanding varian Delta dan sudah bermutasi kepada tiga subvarian: BA.1, BA.2 dan BA.3.
Dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand merekodkan 22,130 kes baharu COVID-19 dan 69 kematian, meningkatkan jumlah jangkitan di negara itu kepada 3,206,950 kes dan 23,778 kematian.
BHonline-