BAGAN SERAI: Kerajaan tidak bercadang untuk mewajibkan pengambilan dos penggalak vaksin COVID-19 kepada rakyat Malaysia.
Sebaliknya, kerajaan mengambil inisiatif memberi nasihat secara bersungguh-sungguh agar rakyat mengambilnya.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, sejak daripada pengenalan vaksin mulai tahun 1950-an lagi, kerajaan tidak pernah mewajibkan pengambilannya.
“Kita dah buat vaksinasi bukan benda baru, sejak 1950-an lagi, daripada kita kecil sampai ke umur lima tahun, memang tiap-tiap bulan ada cucuk dan kita tidak pernah mewajibkan, tak pernah mewajibkan cucuk ini.
“Tapi kita nasihat (supaya ambil) kerana untuk pengetahuan semua orang, banyak penyakit-penyakit seperti polio, campak, hepatitis dan sebagainya, telah turun dalam dunia ini, telah menyelamatkan nyawa orang kerana ada program vaksinasi ini,” jelasnya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-60 Pertubuhan Kebajikan Agama Islam dan Masyarat Melayu Komuniti Bagan Serai di Surau Al-Asriah pada Ahad.
Menurutnya, dos penggalak bukan sahaja untuk COVID-19 tetapi juga penyakit-penyakit lain seperti hepatitis.
Malah, kakitangan perubatan perlu mengambil suntikan vaksin influenza setiap tahun.
Katanya, setakat ini sekitar 63.7 peratus rakyat Malaysia telah menerima dos penggalak, masih jauh dari sasaran 80 peratus.
Pada Jumaat, Astro AWANI melaporkan terdapat beberapa pihak mencadangkan agar kerajaan menimbang untuk mewajibkan pemberian dos penggalak vaksin COVID-19.
Beberapa warga Ipoh yang ditemui berpendapat, pemberian dos penggalak akan merancakkan kembali aktiviti seharian rakyat, kerana dapat menambah imuniti penerimanya.
Awani-