IPOH: Kesesakan sepanjang 20 kilometer (km) di laluan mendaki di KM231.9 di antara Kuala Kangsar-Changkat Jering di Lebuhraya Utara-Selatan berpunca daripada sebuah treler yang terkandas di lorong perlahan akibat kehabisan minyak dan kerosakan enjin.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan memaklumkan insiden itu dapat diselesaikan dan treler yang terbabit telah dialihkan ke tempat letak kenderaan kecemasan yang berhampiran jam 2:30 petang tadi.
“Kami sedang merujuk kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan yang sewajarnya. Sepanjang insiden itu, maklumat trafik telah disalurkan secara beterusan kepada pelanggan lebuh raya menerusi papan tanda elektronik di lokasi strategik serta Twitter PLUSTrafik.
“Pengguna yang menghala ke utara turut diarahkan supaya keluar dari lebuh raya menerusi Plaza Tol Kuala Kangsar sebelum masuk semula menerusi Plaza Tol Changkat Jering,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut, pasukan operasi lebuh raya PLUS turut berada di lokasi dan mendapat kerjasama pihak berkuasa dalam menguruskan insiden terbabit.
PLUS melahirkan rasa kesal atas kesulitan yang dihadapi oleh pelanggan lebuh raya yang terperangkap dalam kesesakan itu.
Bernama-