KUALA LUMPUR : Tuntutan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera bukanlah gesaan yang baharu dibuat UMNO ketika ini, sebaliknya sudah bermula sejak Februari 2020 lagi.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh pada penghujung Februari 2020, UMNO ketika itu sudah mempersembahkan cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen dibubarkan.
Katanya, waktu itu, UMNO berpandangan menyerahkan semula mandat kepada rakyat adalah jalan terbaik menamatkan kekusutan politik yang berlaku, namun ia tidak dipersetujui Agong.
“Waktu itu ada tiga keputusan. PH menamakan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, satu lagi pihak menyokong (Tun) Dr Mahathir (Mohamad), saya yakin ini daripada kumpulan Tan Sri Muhyiddin Yasin.
“UMNO ketika itu kita sudah sepakat persembahkan supaya Parlimen dibubarkan, tapi akhirnya ia tidak berlaku,” katanya pada program Bual Bicara sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 disiarkan menerusi Facebook UMNO Online, hari ini.
Sejak itu lagi, katanya, UMNO menyedari kedudukan kerajaan ketika itu hanya bersifat sementara dan sukar untuk membina kestabilannya.
“Kita sudah sepakat kerajaan yang naik pada 1 Mac 2020 itu, hanya sementara. Waktu itu pun COVID-19 baru bermula. Kita sedar, ini bukan kerajaan mandat mutlak rakyat.
“Jadi, jangan mengharapkan kestabilan apabila kita duduk dalam rumah yang ada pengkhianat di dalamnya. Bila kita duduk dalam rumah ada pengkhianat, memang tidak akan ada kestabilan,” katanya.
Kerajaan PH jatuh pada Februari 2020 selepas Dr Mahathir meletak jawatan Perdana Menteri, di sebalik pergeseran yang berlaku dalam PH berkaitan peralihan jawatan Perdana Menteri.
Dalam pada itu, beliau berkata, sukar bagi UMNO merintis kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), memandangkan parti itu sendiri ditubuhkan dengan niatnya untuk menggantikan UMNO.
“Semuanya bermula daripada politik dendam. Saya pernah jumpa Tan Sri Muhyiddin minta supaya beliau baliklah semula kepada UMNO, tapi dia kata UMNO sudah rosak. Dia masih menyalahkan UMNO.
“Masih ada dendam walaupun ketika itu kita sudah angkat dia sebagai Perdana Menteri. Apa yang berlaku itu memang menyedihkan,” katanya.
-Berita Harian