NEW YORK : Penyedia pembayaran melalui kad terbesar di dunia, Visa dan Mastercard mengumumkan akan menggantung operasi di Rusia sebagai langkah membekukan operasi perniagaan di negara itu.
Tindakan itu dilakukan sebagai bantahan terhadap pencerobohan tentera Moscow di Ukraine yang sudah berlanjutan lebih seminggu.
Mastercard menjelaskan pihaknya mengambil kira konflik semasa yang belum pernah terjadi sebelum ini ditambah persekitaran ekonomi yang tidak menentu.
Oleh itu, syarikat memutuskan untuk menggantung perkhidmatan rangkaian di Rusia.
Bagi Visa, pihaknya akan bekerjasama dengan pelanggan dan rakan kongsinya di Rusia bagi menghentikan semua transaksi Visa dalam beberapa hari akan datang.
Dalam masa beberapa hari akan datang, semua urus niaga menggunakan kad Visa yang dikeluarkan di Rusia tidak lagi berfungsi di luar negara.
Perkara itu dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Visa, Al Kelly dan beliau memberitahu mana-mana kad yang dikeluarkan di luar Rusia tidak akan berfungsi lagi di dalam negara itu.
“Kami terpaksa bertindak berikutan pencerobohan Rusia terhadap Ukraine kerana ia adalah peristiwa yang tidak boleh diterima.
“Kami kesal dengan kesan ini terhadap rakan sekerja yang dihargai, pelanggan, rakan kongsi, peniaga dan pemegang kad yang berkhidmat di Rusia.
“Kami bertindak balas selaras dengan nilai keamanan yang membantah ancaman peperangan berterusan,” katanya dalam kenyataan.
-Utusan Online