KUALA LUMPUR : Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerima lebih kurang 8,500 permohonan daripada 19,000 bakal jemaah umrah melalui Persatuan-Persatuan Industri Pelancongan yang terpaksa membatalkan ibadah itu bermula 8 Januari hingga 7 Februari 2022.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, mereka merupakan bakal jemaah yang terpaksa menanggung kerugian kerana tidak boleh mendapatkan bayaran balik bagi sesetengah pembayaran yang telah dibuat.
“Bagaimanapun, saringan awal MOTAC mendapati jumlah itu adalah termasuk dengan permohonan berulang dan ada juga tidak memenuhi kriteria.
“Bilangan mereka yang dikenal pasti layak menerima bayaran sagu hati ini juga adalah lebih rendah.
“Ini bermakna, jumlah mereka yang terkesan dari segi kewangan ekoran penangguhan sementara terbabit adalah minimum,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, antara kriteria dan syarat pemberian bayaran saguhati tersebut adalah:
(a) jemaah menggunakan syarikat pengendali yang berlesen dengan MOTAC;
(b) tempoh penerbangan antara 8 Januari 2022 sehingga 7 Februari 2022; dan
(c) telah memiliki visa perjalanan.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang ingin tahu adakah semua bakal jemaah yang terjejas akan menerima wang ihsan daripada kerajaan.
-Awani