KUALA LUMPUR : Kementerian Luar memaklumkan Wisma Putra akan mula menghantar surat rasmi ke negara lain menggunakan Bahasa Melayu.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga akan terus menggunakan Bahasa Melayu dalam mesyuarat dan pertemuan antarabangsa, termasuk sidang kemucak ASEAN dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Jelasnya, ia selaras dengan kerangka dasar luar Malaysia serta menyokong hasrat dan cita-cita Perdana Menteri yang mencadangkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.
“Bagi penggunaan Bahasa Melayu di mesyuarat yang dihadiri Perdana Menteri, ini akan diteruskan, termasuk dua mesyuarat besar yang akan dihadiri beliau tahun ini, iaitu sidang kemuncak ASEAN dan ucapan beliau di Perhimpunan Agung PBB.
“Kami juga akan secepat mungkin mula menghantar surat dari Kementerian Luar ke pihak negara asing menggunakan Bahasa Melayu, dan disediakan dengan terjemahan yang bersesuaian dengan mereka,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
-Berita Harian