JAKARTA : Sebanyak 19 juta dos vaksin Covid-19 dalam simpanan negara tamat tarikh luput pada Januari hingga Mac lalu, dengan 97 peratus daripadanya adalah hasil sumbangan negara lain.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Pegawai Kanan Kementerian Kesihatan, Lucia Rizka Andalusia berkata, sebanyak 1.5 juta dos vaksin lagi akan luput tarikh bulan depan.
Jelasnya, kebanyakan vaksin yang luput tarikh adalah AstraZeneca dan Moderna.
Indonesia menerima sumbangan vaksin dari Australia dan Amerika Syarikat menerusi skim perkongsian vaksin global COVAX.
Seperti kebanyakan negara membangun lain, Indonesia terpaksa meningkatkan kempen vaksinasi, dengan menerima sumbangan vaksin dari negara maju serta meminta sumbangan dengan jangka hayat lebih lama.
Sementara itu, Pegawai Kementerian Luar, I Gede Ngurah Swajaya berkata, Indonesia akan berhenti menerima sumbangan vaksin sehingga bulan ini.
Katanya, setiap negara penyumbang akan dikenakan syarat sumbangan vaksin mestilah mempunyai ketahanan sekurang-kurangnya dua pertiga tempoh jangka hayat.
Agensi Makanan dan Ubat Indonesia awal bulan ini berkata, pihaknya akan melanjutkan tarikh luput beberapa vaksin termasuk AstraZeneca dan Sinovac, selepas menyemak data baharu yang tersedia mengenai keberkesanannya.
Perikatan vaksin GAVI yang menjalankan COVAZ dengan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) berkata, pihaknya hanya menghantar dos ke negara yang mempunyai pengetahuan penuh tentang jenis vaksin, anggaran pelan penghantaran dan jangka hayat vaksin.
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memaklumkan, lebih 100 juta dos vaksin yang diagihkan oleh COVAX ditolak oleh negara mundur, Disember lalu, disebabkan masalah utama yang menghampiri tarikh luput.
-Utusan Online