PUTRAJAYA : Lebih 500 orang hadir ke Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) di sini bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Mereka yang hadir termasuk Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Turut kelihatan beberapa bekas menteri termasuk Datuk Seri S. Subramaniam dan Datuk Seri Hasan Malek serta bekas Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman.
Turut sama pada majlis itu adalah isteri Allahyarham, Puan Sri Rohani Abdullah berserta anak dan cucunya.
Pelawat yang hadir kebanyakannya penjawat awam, kenalan rapat dan ahli serta waris keluarga Allahyarham.
Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di MTMZA pukul 11.20 pagi dan difahamkan, orang ramai diberi peluang memberi penghormatan terakhir sehingga 1 petang.
Jenazah kemudian akan disembahyangkan di ruang solat utama MTMZA yang akan diimamkan Imam Besar MTMZA, Ustaz Nor Azamir Alias.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Presint 20 selepas solat Zohor.
-Utusan Online