Kota Bharu : Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal bersama empat rakannya didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan memiliki air ketum sebanyak 2.5 liter di rumah di Jalan Pasir Puteh-Kubang Kerian, di sini, Khamis lalu.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Kesemua tertuduh, Wan Muhammad Alif Wan Yusoff, 20; Muhammad Faries Aizat Ruslan, 23; Anis Najiehah Muhammad Anggelan, 27; Bidah Napi dan anggota polis Raja Rozalia Fadila Raja Mamat, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izdham Che Ani.
Mengikut pertuduhan pertama, kesemua tertuduh didakwa memiliki cecair racun mytragynine (ketum) sebanyak 1.5 liter di rumah di Jalan Pasir Puteh-Kubang Kerian, di sini, 3.25 pagi, Khamis lalu.
Mengikut pertuduhan kedua pula, kesemua tertuduh didakwa memiliki 1 liter cecair racun mytragynine di lokasi dan waktu yang sama.
Kesemua tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 30(5) Akta Racun 1952 yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tempoh empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nursyafiqah Mohamad, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Nor Nadhirah Ismail.
Terdahulu, Nursyafiqah menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dikenakan kepada setiap tetuduh bagi kedua-dua pertuduhan, manakala Intan Nor Nadhirah memohon jaminan minima dikenakan terhadap kesemua tertuduh.
Intan Nor Nadhirah antara lain turut memaklumkan, Raja Rozalia Fadila adalah ibu tunggal dan perlu menyara dua anak dengan pendapatan RM1,300 sebulan, manakala empat lagi hanya bekerja sebagai peniaga dalam talian dan peniaga kosmetik dengan pendapatan antara RM1,000 hingga RM2,000.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM4,500 seorang untuk kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 13 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.
-Harian Metro